Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengadakan lawatan ke tapak projek Loji Rawatan Air Bayong Bahagian Sarikei

14 May, 2025

by TV Sarawak

SARIKEI, 14 Mei: Loji Rawatan Air Bayong Fasa 2B dijangka menjadi pemangkin utama kepada peningkatan kapasiti bekalan air bersih di kawasan tengah Sarawak apabila mampu membekalkan tambahan 30 juta liter air sehari.

Dengan nilai projek sebanyak RM68.4 juta, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata loji ini bakal memperkukuh sistem bekalan air di Sarikei dan kawasan sekitarnya.

“Kita (kerajaan) sedang berusaha keras membekalkan air untuk Sarikei serta kawasan-kawasan berdekatan, dan selain itu saya telah dimaklumkan bahawa terdapat kemungkinan loji rawatan ini boleh ditingkatkan lagi sebanyak 30 juta liter sehari.

“Dengan erti kata lain, loji ini boleh membekalkan sehingga 130 juta liter. Jika terdapat keperluan yang meningkat, ada kemungkinan kita akan kembangkan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat ke Loji Rawatan Air Bayong Fasa 2B, di sini, pada Rabu.

Abang Johari berkata terdapat kawasan untuk pengembangan bagi loji ini dan ia bergantung kepada jumlah pengambilan air dari Empangan Gerugu.

“Kawasan tadahan air itu sangat besar, dan jumlah air dalam empangan juga boleh ditingkatkan. Jadi, ia adalah berkaitan antara keperluan dan juga bekalan air.

“Ini bermakna, kawasan Rajang, kawasan wilayah tengah, untuk jangka masa yang panjang akan mempunyai bekalan air mencukupi,” tegas beliau.

Sementara itu, Abang Johari turut mencadangkan agar loji tersebut turut dilengkapi dengan pemasangan turbin mini sebagai langkah inovatif menjana tenaga boleh diperbaharui.

Beliau berkata, aliran air yang digunakan dalam loji berkenaan berpotensi memutarkan turbin mini bagi menghasilkan tenaga elektrik domestik.

“Bagi Sarawak, kita mempunyai bekalan air yang mencukupi dan air juga boleh menjana kuasa, sebab itu tadi saya mencadangkan ada kemungkinan kita boleh buat percubaan untuk memasang turbin mini.

“Sebab ada halangan air, dan boleh memutarkan turbin mini dan kawasan ini boleh mempunyai tenaga elektrik domestik sendiri,” jelas beliau lagi.- TVS

For more details, check out the articles here:

https://www.facebook.com/100064412270566/posts/1126319572858441/?rdid=QWnm5n5EeYD8CloO#

https://www.tvsarawak.my/2025/05/14/loji-rawatan-air-bayong-fasa-2b-mampu-bekal-30-juta-liter-air-tambahan-sehari