Projek Naiktaraf Loji Rawatan Air Bayong Fasa 2B Siap, Tingkat Kapasiti Bekalan Air Sarikei

07 May, 2025

by UKAS

SARIKEI: Kerajaan Sarawak terus menunjukkan komitmen tinggi dalam menjamin kelangsungan dan mutu bekalan air di kawasan luar bandar apabila Projek Menaiktaraf Loji Rawatan Air Bayong Fasa 2B berjaya disiapkan, sekaligus meningkatkan kapasiti loji kepada 100 Juta Liter Sehari (JLH).

Projek berimpak tinggi bernilai RM68.4 juta itu dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Sarawak dengan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) sebagai agensi pelaksana.

Peningkatan kapasiti ini dijangka mampu menampung permintaan bekalan air yang semakin melonjak di Bahagian Sarikei, khususnya di kawasan Tanjung Manis, Belawai serta Pulau Bruit.

Skop projek melibatkan pembinaan loji rawatan air baharu berkapasiti 30 JLH, muka sauk, pemasangan saluran paip air mentah dan pelbagai kerja sokongan lain.

Ia dilihat sebagai usaha bersepadu untuk mengatasi isu bekalan air serta memperluas liputan kawasan yang mendapat bekalan bersih dan berkualiti.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, kerajaan amat serius dalam meningkatkan infrastruktur asas rakyat yang bukan sahaja menyelesaikan masalah air, malah membuka jalan kepada pembangunan sosioekonomi kawasan luar bandar.

Beliau berkata demikian sempena lawatan kerja ke loji berkenaan, di sini, pada Rabu.

JBALB Sarawak turut memberi jaminan untuk terus memantau pelaksanaan projek-projek berkaitan agar disiapkan mengikut jadual, sekali gus memastikan kesinambungan bekalan air berterusan kepada rakyat.

Sementara itu, Dato Sri Julaihi memberitahu bahawa perasmian loji ini nanti akan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada 14 Mei ini nanti.

Inisiatif ini sejajar dengan misi Kerajaan Sarawak dalam memperkasa kesejahteraan rakyat luar bandar melalui pembangunan prasarana asas yang mampan dan inklusif.

Mengiringi beliau dalam lawatan hari ini ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing; ADUN Meluan, Rolland Duat Jubin; wakil Dato Sri Huang Tiong Sii, Wong Zee Yeng; Setiausaha Tetap MUT, Datu Jafri Lias; Pengarah JBALB Sarawak, Ir Ts Awang Mohamad Fadilah Awang Redzuan dan Timbalan Residen Sarikei, Badjuri Bidin. -EDISI UKAS

For more details, check out the article here:

https://premierdept.sarawak.gov.my/web/subpage/news_view/17512/UKAS

https://www.tvsarawak.my/2025/05/07/projek-naik-taraf-loji-rawatan-air-bayong-fasa-2b-siap-sepenuhnya